Anak Tiri dan Janda Ayahnya

Tuesday, December 15, 2009

S : Seorang lelaki, kahwin dengan seorang wanita, kemudian bercerai. Selepas itu, lelaki tadi kahwin dengan wanita yang lain dan dapat anak. Soalannya, batal tak wuduk anak tadi dengan bekas isterinya?

J : al-fadhil Ustaz Tirmizi Taha

Secara ringkasnya, berikut ialah mereka yang batal wuduk atau dikira bukan mahram bagi seorang lelaki berdasarkan kepada hubungan perkahwinan tiri.

1) anak perempuan ayah tiri
2) cucu tiri
3) ibu mertua tiri bapa
4) isteri anak tiri
5) isteri ayah tiri

Dalam soalan tadi, anak tiri tersebut tidak batal wuduk dengan bekas isteri ayahnya. Ini kerana, apabila seorang bapa sudah 'menyentuh' seorang wanita yang menjadi isterinya, maka keturunannya hingga ke bawah haram ke atas wanita tadi.

Wallahualam.

Aurat Wanita Muslimah Dengan Kafirah

Friday, December 11, 2009

S : Aurat pmpuan Islam dgn pmpuan bkn Islam mstilah mnjg sm dgn mnjga dgn lelaki..mcm mn kalu kt dah knl ltr blkg pmpun bkn islm tu dn thu ltr blkg prmpn bkn islam tu..mknanya kt knl rpt dan dia pon thu kt org islam..kn jg aurt sm mcm dgn llki gak er?

J : Dalam mazhab kita Syafi'i, ada dua qaul yang boleh dirumuskan di sini. Pendapat yang أصح ialah haram seorang kafirah sama ada zimmi atau pun tidak melihat aurat seorang muslimah. Justeru, wajiblah seorang muslimah menutup auratnya (selain muka dan tapak tangan) sebagaimana apabila berhadapan dengan seorang lelaki ajnabi.

Ini kerana kalimah نسائهن dalam ayat (...ولا يبدين زينتهن)kerana merupakan takhsis kepada muslimah. Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Saidina Umar r.a. yang menegah orang kafirah daripada memasuki bilik air bersama muslimah.

Juga kerana ada kemungkinan kafirah ini akan menceritakan kepada suaminya atau kawan lelakinya yang kafir tentang aurat wanita muslimah.

Pendapat مقابل الأصح menyatakan, tidak haram seorang kafirah melihat aurat muslimah kerana jantina yang sama.

Ulama Syafi'i ada mentarjihkan pendapat ini dengan menyatakan yang أصح ialah harus seorang kafirah melihat aurat muslimah yang biasa menurut adat kebiasaan dilihat untuk keperluan semasa bekerja atau melakukan kerja rumahtangga dan ini dikatakan pendapat yang muktamad.

Untuk rujukan lanjut, sila lihat Nihayah al-Muhtaj dan Mughni al-Muhtaj. Wallahualam.

***
الأصح - pendapat pengikut Imam Syafi'i yang lebih kuat
مقابل الأصح - pendapat pengikut Imam Syafi'i yang kuat

Pemberian Daging Aqiqah kepada Orang Kafir

Thursday, November 26, 2009

S : Saya nak buat majlis aqiqah. Boleh tak saya jemput kawan-kawan pejabat saya yang bukan Islam ke majlis tersebut? Terima kasih.

J : Pemberian daging aqiqah kepada orang kafir adalah haram di sisi mazhab kita Shafi'i. Begitu juga dengan dengan korban.

Menjemput ke majlis aqiqah tidak salah, cuma dari sudut daging tersebut hendaklah dipastikan tidak dari daging yang dibuat aqiqah. Sekiranya mereka memakan juga daging tersebut, hendaklah diganti dengan daging lain dengan kadar yang sama.

Wallahualam.

Dua Bahagian Aqiqah

S : Utz, kalau seseorang nak aqiqah anak lelaki dia, boleh tak satu bahagian dari seekor lembu dan satu lagi dari lembu yang lain?

J : Boleh melakukan aqiqah satu bahagian daripada seekor lembu dan satu bahagian lain dari lembu yang lain kerana tidak disyaratkan untuk mesti dua bahagian itu dari seekor lembu.

Begitu juga sekiranya aqiqah satu bahagian itu dilakukan pada tahun ini dan satu lagi bahagian pada tahun yang lain.

Melakukan aqiqah dengan satu bahagian sahaja atau seekor kambing untuk anak lelaki telah memadai untuk mendapatkan sunat aqiqah. Namun, dua bahagian atau dua ekor itu adalah terlebih afdhal.

Wallahualam.

Biaya Haji, Isteri atau Ibu

Tuesday, November 17, 2009

S : Seorang ibu yang tidak mampu menunaikan ibadah haji mempunyai seorang anak lelaki. Anak lelaki tersebut membawa dan membiayai sepenuhnya isterinya untuk mengerjakan ibadah haji dan si ibu tadi merasa sungguh terkilan dengan anak lelaki tersebut kerana beliau (si ibu) tahu yang dia tidak akan mampu pergi menunaikan ibadah haji tanpa pembiayaan anaknya...Anak lelakinya itu telah mengutamakan isterinya dan si ibu
merasa kecewa.


J : al-Fadhil Ustaz Jamalluddin Hashim


Isu ni pernah ditanya oleh seorang peserta dalam salah satu muzakarah haji peringkat kebangsaan. Maka yang menjawabnya itu ialah Almarhum Tuan Haji Muhammad Shith, salah seorang bekas penasihat hukum Tabung Haji. Beliau menjawab isu ini secara spontan. Beliau mengatakan bahawa seorang suami tidak wajib menanggung perbelanjaan haji isterinya kerana ianya tidak termasuk dalam kewajipan nafkah suami terhadap isterinya.

Manakala pembiayaan nafkah ibu/bapa yang memerlukan menjadi kewajipan anak bila si anak tersebut mampu. Maka di sini, beliau mengatakan membawa ibu mengerjakan haji adalah lebih diutamakan daripada membawa isteri. Pada hari kedua muzakarah haji tersebut, salah seorang lagi bekas penasihat hukum TH, Sahibul Samahah Syeikh Abdul Majid (bekas mufti Kedah)mengesahkan jawapan Tuan Haji Mohd Shith tersebut dengan membawa hujjah2 drp kitab al-Majmuk.

Kosmetik Daripada Emas

Monday, November 9, 2009

S : Ust, apa hukum pakai kosmetik yang ada emas 24K macam Safi Rania Gold. Boleh ke atau macam susuk?

J : al-Fadhil Dr. Basri Ibrahim

Secara umum, emas dihalalkan buat wanita walaupun dalam bentuk alat solek dengan syarat ia bukan najis dan tidak memudaratkan.

Wallahualam.

Wakil Zakat ke Sekolah

S : Sebuah institusi menyumbangkan zakat syarikatnya ke sebuah sekolah. Masalahnya : ada pelajar miskin yang adik-beradiknya sampai 4 orang, semua dapat ke?

J : al-Fadhil Ustaz Talib Abdul Rahman

Sekiranya sekolah rendah, maka pelajar tersebut tidak berhak mendapat zakat. Sebaliknya walinya yang berhak. Dalam hal ini, maka adik-beradik tersebut di bawah tanggungan wali dan dan wali yang berhak mendapat zakat tersebut tanpa mengambil kira adik-beradik tadi.

Sekiranya sekolah menengah atau dalam erti kata yang lain sudah baligh, maka keempat adik-beradik tadi berhak mendapat zakat kerana dikira mustaqil atau terpisah disebabkan seorang yang baligh sudah tidak duduk di bawah tanggungan wali.

Wallahualam.

Aurat Kaki Wanita

Sunday, November 8, 2009

S : Apakah aurat kaki wanita sebab saya tengok ada wanita yang berjubah tapi tak pakai stokin. ada ustzah bagitau saya kaki wanita tu aurat sebab tu kena tutup waktu sembahyang. Harap utz dpt jelaskan.

J : al-Fadhilah Ustazah Syh. Noorul Madihah Binti Syed Husin

Jumhur ulama' dari kalangan ulama' malikiyyah, syafiiyyah dan hanabilah mengatakan kaki wanita adalah termasuk dalam batasan aurat wanita ketika berhadapan dengan ajnabi.namun bagi pandangan mazhab hanafi, kaki wanita bukan termasuk aurat.

Maka dari pandangan jumhur (termasuk pandangan muktamad mazhab syafie), pemakaian stokin, atau sarung kaki (yang tidak nipis)adalah wajib bagi memenuhi keperluan penutupan aurat.

Dalil utama pandangan ini adalah :

1) surah nur : ayat 31 = ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها. pentafsiran "ما
ظهر منها" dalam ayat ini hanyalah termasuk muka dan tapak tangan...ini
bermakna semua badan wanita adalah aurat melainkan muka dan tapak tangan
sahaja.

2)hadis dari Ibn Umar yang menceritakan ttg Rasulullah melarang kaum
muslimin melabuhkan pakaian kerana sombong dan bongkak.apabila ummu
salamah menanyakan Rasulullah bagaimana pula dengan wanita...adakah turut
dilarang...nabi menerangkan bagi wanita, mereka diharuskan melabuhkannya
(demi menjaga aurat wanita iaitu seluruh kakinya)

wallahu a'lam

Lendir Sesudah Haid Berhenti

Saturday, October 17, 2009

S : Saya datang haid pada 29 hb, pada 5 hb haid saya masih berhenti. Saya mandi wajib dan bersolat seperti biasa. Tiba2 kesokan harinya ada lendir kuning yang keluar. Lusa dah tak ada. Dikira istihadhah atau macamana? Harap utz beri penjelasan.

J : al-fadhil Ustaz Tirmizi Taha

kaedah pengiraan haid :

1-sekurang2 haid 1 hari 1 malam ( haid keluar tanpa henti ). atau 24 jam
sama berterusan atau terputus2.
2-tidak melebihi 15 hari 15 malam .
3-darah yang keluar berwarna haid iaitu hitam, merah ( tua atau muda )
kining, keruh dan warna tanah.

Contoh ( darah yang keluar bukan haid ):

1-keluar darah selama 10 hari. setiap hari 2 jam. maka haid kerana tidak
cukup 24 jam.
2-keluar darah selama 16 hari=x haid kerana melepasi sebanyak2 haid.

Contoh haid :

keluar darah 14 hari.

berbalik soalan di atas lendir yang kuning itu di sisi kebanyakan fuqaha' adalah bukan haid kerana ia berlendir bukan seperti darah.adapun darah yang keluar sblm itu maka ianya adalah haid.

wallahu a'lam.

Ada beberapa permasalahan haid mesti dilihat kembali iaitu hukum haid yg berdasarkan adat atau cuaca setempat. yang ini memerlukan kepada kajian lapangan untuk disesuaikan dengan wanita malaysia. contohnya seawal2nya perempuan berhaid 9 tahun. ini berdasarkan kajian LAPANGAN oleh Imam Shafei di Hijaz. bukan bersandarkan nas. persoalannya adakah dapatan imam Shafei itu sama dengan wanita di Malaysia. Kajian tersebut sedang dijalankan..

Gambar Pengurusan Jenazah

Thursday, October 15, 2009

S : AJK masjid kami nak papar poster pengurusan jenazah yang ada gambar real jenazah dan orang-orang yang mengurus jenazah tersebut. Tapi ada hamba Allah yang melarang kerana dia kata haram. Apa hukumnya gantung poster tersebut?

J : Sahibus Samahah Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Abdul Halim Awang

Ia diharuskan kerana tujuan ta'lim atau pendidikan. Tiada masalah. Wallahualam.

Puasa Sunat Digabungkan Dengan Puasa Qadha'

Wednesday, October 14, 2009

S : Ustz..blh ustz jelaskan sket bab posa sunat + posa qoda ?

J : Merujuk kepada kitab Fath al-Mu'in, pengarang menyatakan qaul ulama' zamannya yang mengeluarkan fatwa bahawa pahala puasa Hari Arafah dan lain-lainnya (seperti Asyura, Puasa Enam Syawal...) diperolehi dengan melakukan puasa Fardhu (qadha' atau Nazar).

Pendapat ini berbeza dengan yang disebut dalam kitab al-Majmu' dan diikuti oleh al-Asnawi rhm. Imam al-Nawawi rhm menyatakan : sekiranya berniat kedua-duanya, maka kedua-duanya tidak berhasil.

Imam Ibn Hajar al-Haithami rhm berpendapat sebagaimana Imam Zakaria al-Ansari rhm bahawa maksud puasa terlaksana di sini sebagaimana solat tahiyyatul masjid (apabila solat fardu dan diniatkan juga tahiyyatul masjid-pny), maka puasa fardu tersebut jika diniatkan juga dengan puasa sunat, terhasillah kedua-duanya. Jika tidak, maka tidaklah terhasil pahala sunat.

Wallahualam.

Pewarna Rambut Tidak Telap Air

S : utz, kalau pewarna rambut tak telap air, camne nak mandi wajib?


J : al-Fadhil Ustaz Talib Abd Rahman


Perbuatan mewarna rambut dengan sesuatu yang menghalang air terkena anggota bersuci adalah berdosa kerana perbuatannya sengaja menghalangi beliau daripada beribadah.

Berkenaan dengan masalah mandi wajib, beliau hendaklah mandi seperti tuntutan mandi wajib dan hendaklah bertayammum menggantikan anggota yang tidak boleh terkena air tersebut. Wallahualam.

Mengucup Jenazah

S : Adakah dibolehkan mengucup dahi jenazah sebagaimana yang biasa dilihat sekarang?

J : al-Fadhil Ustaz Suhaimi Mohamad, Imam Masjid UDM

Perbuatan mengucup dahi jenazah adalaha diharuskan. Saydina Abu Bakar al-Siddiq r.a. pernah dilaporkan mengucup dahi Rasulullah s.a.w. ketika Baginda s.a.w. wafat.

Namun perbuatan tersebut mestilah memenuhi syarat-syaratnya iaitu jenazah mestilah antaranya :

i) jenazah tersebut adalah mahramnya seperti ibu, bapa...
ii) jenazah tersebut sahabat karibnya
iii) jenazah tersebut orang-orang salih

Bagi jenazah yang batal air sembahyang semasa masih hidup jika bersentuhan dengannya (bukan mahram atau yang haram bersentuhan dengannya-pny) seperti sepupu lelaki dengan sepupu perempuan, maka mengucupnya tidak diharuskan.

Adapun tempat yang boleh dikucup ialah dahi dan pipi. Wallahualam.

Mewarna Rambut

Sunday, October 11, 2009

S : Apa hukum mewarna rambut sebab kat kotak dia ada logo halal?

J : ada beberapa perkara perlu dinilai dalam masalah mewarnakan rambut. Berikut disertakan jawapan daripada Fatwa Negeri Sembilan...

1. Sunat :
Mewarnakan rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam.

2. Harus :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad.
b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

3. Makruh :
a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh.
b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

4. Haram :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b).
b) Mewarna rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.

Justeru, persoalan logo halal itu hanya tentang bahan pewarna dan bukan penggunaannya.

Perlu dilihat kepada trend pewarnaan rambut sekarang yang meniru-niru perlakuan artis, selebriti atau orang kafir, maka perbuatan tersebut adalah diharamkan. Ia juga menjadi syiar orang fasiq.

Wallahualam.

Wanita haid membaca Quran

Tuesday, October 6, 2009

S : Hukum Beberapa masalah perempuan haid dengan bacaan al-Quran
a) Dia baca dengan niat zikir spt baca yasin dan seumpamanya
b) Dia ajar orang lain mengaji...apakah boleh membacanya krn mengajar
dan memperbetulkan bacaan
c) Dia masuk musabaqah tilawah atau hafazan...tiba2 dia haid bila tiba
gilirannya
d) Baca krna nak belajar
e) Hafizah yang membaca dan mengulanginya krn takut lupa


J : al-Fadhil Ustaz Tirmizi Taha

Menurut mazhab Shafei haram perempuan islam yang haid membaca al quran yang tidak dinasakhkan bacaannya, diniatkan al quran, dibaca dengar didengar oleh dirinya sendiri.hukum haram membaca itu sama ada satu huruf atau lebih dari satu huruf.

Syarat haram bagi perempuan haid sebagaimana yang tertera dalam kenyataan
di atas ialah -

1-membaca dengan lidah dan didengari oleh diri sendiri. Bagi orang yang bisu, maka isyaratnya sama dengan membaca bagi orang yang tidak bisu. Oleh itu harus bagi perempuan haid melihat mushaf, membaca quran dalam hati atau membaca dengan lidah tetapi tidak didengari oleh dirinya sendiri (membaca secara perlahan ).
2-ayat yang dibaca itu tidak dinaskhkan bacaannya. Jika sekiranya ayat itu hanya dinasakhkan hukum sahaja, tetapi bacaan tidak dinasakhkan maka haram perempuan membacanya.
3-diniatkan al quran. Jika sekiranya perempuan haid membaca al quran bukan dengan niat al quran seperti diniatnya zikir sahaja, maka tidak haram. atau dibaca quran tanpa apa-apa niat maka diharuskan.jika dia membaca al quran dengan niat quran sahaja atau niat quran dan zikr maka haram hukumnya.

-Membaca quran niat quran=haram
-Membaca quran niat quran dan zikir=haram
-Membaca quran tanpa sebarang niat, tidak niat quran dan tidak niat
zikir=harus.
-Membaca quran dengan niat zikir=harus.

Kesimpulan-menurut mazhab Shafei- hukum perempuan haid membaca al quran
itu ditentukan melalui qasadnya.

Justeru, jawapan kepada persoalan di atas -

a) Dia baca dengan niat zikir spt baca yasin dan seumpamanya hukumnya harus.
b) Dia ajar orang lain mengaji...apakah boleh membacanya krn mengajar dan
memperbetulkan bacaan Hukumnya harus jika diniatkan zikir. Menurut Imam Rafi’I tidak halal perempuan membaca al quran bertujuan mengajar dan kerana bimbang lupa al
quran menurut pendapat yang terkuat.-silah rujuk Syarh Wajiz.
c) Dia masuk musabaqah tilawah atau hafazan...tiba2 dia haid bila tiba
gilirannya Hukumnya harus jika diniatkan bukan al quran. Persoalan musabaqah itu pula
adalah persoalan yang perlu diperbahaskan secara berasingan.
d) Baca krna nak belajar Hukumnya harus jika diniatkan zikir atau tidak niat apa-apa.
e) Hafizah yang membaca dan mengulanginya krn takut lupa. Hukumnya harus jika diniatkan zikir atau tidak niat apa-apa. Jika sememangnya dia berniat quran atau quran dan zkir maka haram hukumnya.

Berkenaan hal ini Imam Nawawi membuat kenyataan berikut dalam kitab Majmuk:

Adapun kebimbangan lupa al quran, maka ianya jarang-jarang berlaku . Ini kerana dalam tempoh 6 atau 7 hari ( tempoh kebiasaan haid ) al quran masih dapat diingati. Tambahan pula kebimbangan itu boleh diatasi dengan membaca al quran dalam hati.

( pada zaman sekarang pula dengan kemudahan yang ada, maka kebimbangan itu sememangnya jarang berlaku.pent.)

Pendapat ini dipegang oleh mazhab Shafei menurut pendapat yang kuat.

Dalil dari hadis riwayat Tirmizi : Orang junub dan orang haid tidak boleh membaca al Quran.

Menurut Imam Nawawi hadis ini adalah lemah. Pendapat ini disokong oleh Ibnu Hajar al ‘Asaqalani dalam kitabnya al Talkhis al Habir dan beliau menghuraikan secara terperinci dan kesimpulannya beliau cenderung menyatakan hadis di atas adalah lemah, manakala hadis yang menyokong matan hadis juga adalah lemah atau tidak menepati isi kandungan hadis di atas.lantaran itu hadis di atas masih tetap lemah .

Menurut fuqaha mazhab Shafei pula, walaupun hadis ini lemah akan tetapi ia disokong oleh hadis-hadis yang lain yang menjadikan hadis di atas menjadi kuat. Di antaranya peristiwa berikut:

Al Dar al Qutni meriwayatkan bahawa Abdullah bin Rawahah tidur bersama isterinya, kemudian di tengah malam beliau telah pergi ke tempat tidur perempuannya dan menyetubuhinya. Tiba-tiba isteri Abdullah terjaga dari tidurnya dan dia seperti terlihat Abdullah menyetubuhi hamba perempuannya. Akan tetapi Abdullah menafikannya. Isteri Abdullah meminta Abdullah membuktikan dia tidak menyetubuhi hambanya dengan menyuruh beberapa ayat al Quran.ini kerana orang junub tidak membaca al quran.Abdullah pun terus membaca syair berikut ;

وَفِينَا رَسُولُ اللَّهِ يَتْلُو كِتَابَهُ
إِذَا انْشَقَّ مَعْرُوفٌ مِنْ الْفَجْرِ سَاطِعُ
أَرَانَا الْهُدَى بَعْدَ الْعَمَى فَقُلُوبُنَا
بِهِ مُوقِنَاتٌ أَنَّ مَا قَالَ وَاقِعُ
يَبِيتُ يُجَافِي جَنْبَهُ عَنْ فِرَاشِهِ
إِذَا اسْتَثْقَلَتْ بِالْمُشْرِكِينَ الْمَضَاجِعُ

Ketika Abdullah menceritakan peristiwa , baginda ketawa sehingga nampak gigi gerahamnya.

Hadis ini menunjukkan sudah termaklum pada zaman nabi saw , orang junub (begitu juga haid-secara qias) tidak boleh membaca al Quran.

2-qias
Perempuan haid membaca al quran dikiaskan kepada orang berjunub. Bahkan orang haid lebih patut haram membaca al quran ( qias aulawi ).

Perbahasan di atas adalah merujuk kepada perempuan Islam. Adapun jika sekiranya si kafir membaca, maka tidak boleh dihalangnya dari membaca al quran. Begitu pula harus mengajarnya al quran jika diharapkan dia memeluk Islam.akan tetapi jika diyakini dia tidak mahu masuk Islam, maka tidak harus diajar quran kepadanya.

Rujukan utama
المجموع
حاشية الجمل
حاشية البجيرمي
شرح الوجيز
مغني المحتاج


Walaubagaimanapun, terdapat fuqaha di zaman moden ini yang berpegang dengan pendapat yang mengharuskan perempuan haid membaca al Quran secara mutlak. Di antaranya Dr Abdullah al Faqih.

Wanita Puasa Tetapi Datang Haid

S : seorang wanita yang dah berniat puasa dalam bulan Ramdhan pada malamnya, tapi pagi tu tiba-tiba keluar darah haid. Adakah wajib imsak (menahan diri dari makan minum) sepanjang hari tersebut?

J : al-fadhil Ustaz Suhaimi Mohamad, Imam Masjid UDM

beliau tidak perlu imsak. Sebaliknya hanya disyaratkan tidak makan dan minum dikhayalak ramai. Begitu juga keadaannya dengan seorang yang gila, tiba-tiba sembuh pada pagi tersebut atau seorang yang masuk Islam pada pagi puasa.
Adapun, orang yang wajib imsak ialah seseorang yang terlupa berniat puasa pada malamnya di bulan Ramadhan, tiba-tiba pada paginya tersedar dia tidak berniat puasa maka wajib baginya imsak. Begitu jugalah halnya dengan seorang yang menyangka masih lagi 30 Syaaban, tetapi rupa-rupanya telah masuk 1 Ramadhan, maka wajib baginya imsak.

Wallahualam.

Berkahwin dengan Wanita Zina Yang Hamil 1 Bulan

Sunday, October 4, 2009

S :Perempuan Yang Hamil Satu Bulan Kerana Berzina,Kemudian Berkahwin Dengan
Lelaki Yang Berzina Dengannya..Adakah Anak Yang Bakal Dilahirkan Itu Boleh
Dinasabkan Kepada Suaminya? Bagaimana Jika Dia Kahwin Dengan Lelaki Lain
Dan Lelaki Itu Tahu Bahawa Bakal Isterinya Itu Sudah Hamil Satu Bulan
Kerana Berzina. Apakah Hukum Perkahwinannya Dan Apakah Nasab Anak Itu
Nanti?



Jawapan : al-Fadhil Ustaz Tirmizi Taha


MASALAH PERTAMA

Hukum Perempuan yang hamil satu bulan kerana berzina,kemudian berkahwin
dengan lelaki yang berzina dengannya;
Para fuqaha’ berbeza pendapat dalam masalah ini kepada beberapa pendapat.
Pendapat pertama iaitu pendapat mazhab Maliki, hambali dan Abu Yusuf
bahawa tidak harus berkahwin dengan wanita tersebut sehingga dia
melahirkan anak. Mereka berhujjah dengan hadis yang bermaksud;
Tidak boleh disetubuhi perempuan melainkan setelah dia melahirkan anak.
Hadis riwayat Abu Daud dan al Hakim.

Pendapat kedua
Pendapat Hanafi dan Shafei, bahawa harus berkahwin dengan wanita tersebut
kerana air mani yang terhasil dari zina tiada memberi apa-apa kesan (
tidak diambil kira ). Mereka berhujjah dengan hadis, anak itu hendaklah
dinasabkan kepada suami dan bagi penzina itu mesti direjam. Hadis al
Bukhori dan Muslim.


MASALAH KEDUA

Bagaimana jika dia kahwin dengan lelaki lain dan lelaki itu tahu bahawa
isterinya itu sudah hamil satu bulan kerana berzina. Apakah hukum
perkahwinannya dan apakah nasab anak itu nanti?


I)Hukum Perempuan yang hamil satu bulan kerana berzina,kemudian berkahwin
dengan lelaki tidak berzina dengannya.
II) apakah nasab anak itu nanti?


Menurut mazhab Hanafi, tidak harus berkahwin dengan lelaki yang tidak
berzina dengannya ketika dia hamil. Mereka berdalilkan hadis
’’Tidak boleh disetubuhi perempuan melainkan setelah dia melahirkan
anak’’. Hadis riwayat Abu Daud dan al Hakim.
Dan hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud tidak halal bagi sesorang yang
beriman menyiram airnya ( mani ) di tempat siraman orang lain.

Manakala mazhab Shafei pula berpendapat harus hukumnya berkahwin dengan
lelaki yang tidak berzina dengannya. Sila rujuk
فتوحات الوهاب لسليمان الجمل.
Menurut Mausu’ah al fiqhiyyah al Kuwaitiyyah, para fuqaha’ bersepakat
menyatakan, apabila seorang perempuan hamil kerana zina berkahwin dengan
lelaki yang bukan berzina dengannya, maka tidak harus bagi lelaki ini
menyetubuhi wanita itu sehinggalah wanita itu melahirkan anak zina
terlebih dahulu.

Akan tetapi, menurut Dr Abdullah al Faqih pula, lelaki tersebut boleh
menyetubuhinya, tetapi janin yang terhasil dari perzinaan itu tidak
dinasabkan kepadanya.




MASALAH KETIGA

Adakah anak yang bakal dilahirkan itu boleh dinasabkan kepada suaminya itu ?

Pendapat jumhur
Anak zina tidak boleh dinasabkan kepada penzina dalam semua keadaan.

Pendapat Hanafi
Imam Abu Hanifah berpendapat tidak mengapa berkahwin dengan wanita yang
dia berzina dengannya, dan anak hasil perzinaan menjadi anak kandungnya (
dinasabkan kepadanya).
Pendapat ini juga dipegang oleh Urwah, Ishak bin Rahawaih/Rahuwaih dan
Sulaiman bin Yasar.
Kesimpulannya menurut jumhur anak yang hasil dari perzinaan tidak
dinasabkan kepada penzina lelaki dalam apa jua keadaan.
والله أعلم.

Penentuan Puasa dan Raya

Thursday, October 1, 2009

S : Macam mana kaedah penentuan puasa dan hari raya dilakukan ?

J : (perbincangan dengan Ustaz Taufan Abd Rashid dan juga kuliah subuh 29 Ramadhan 1430 oleh Sahibus Samahah Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Abdul Halim Awang di Masjid UDM)

Secara umumnya, ada 3 kaedah digunakan oleh umat Islam iaitu rukyah semata-mata, rukyah dan hisab serta hisab semata-mata.

Kaedah hisab semata-mata digunakan oleh sebahagian masyarakat Islam contohnya ISNA di Amerika Utara, Turki dan Libya. Rukyah semata-mata adalah amalan di Saudi, Iran, Pakistan, Moroko dll, dan Rukyah dan Hisab digunakan oleh negara MABIMS (Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.

Asas kaedah tersebut ialah hadith : ‏ ‏حدثنا ‏ ‏آدم ‏ ‏حدثنا ‏ ‏شعبة ‏ ‏حدثنا ‏ ‏محمد بن زياد ‏ ‏قال سمعت ‏ ‏أبا هريرة ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏يقول ‏

‏قال النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أو قال قال ‏ ‏أبو القاسم ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته فإن ‏ ‏غبي ‏ ‏عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين ‏

Abu Hurayrah mendengar Nabi s.a.w. bersabda : Puasalah (apabila)anak bulan dilihat dan berraya fitri lah (apabila) anak bulan dilihat dan jika anak bulan tak dapat dilihat, genapkanlah sya'ban 30.

Justeru, para ulama muasir yang cenderung kepada hisab menyatakan hadith tersebut sesuai dengan ilmu pada zaman itu. sedangkan teknologi sekarang telah berkembang dan membolehkan peredaran anak bulan diketahui dengan tepat. Lebih-lebih lagi sistem alam ciptaan Allah ini begitu teratur dan tidak akan ada failure. (Jika ada kegelinciran, maka pasti menandakan kimat akan berlaku-pen).

Bagi yang menggunakan rukyah semata ia berpegang dengan hadith tersebut secara literal.

Di Malaysia, bukanlah bermakna kaedah hisab dan rukyah itu menggunakan dua kaedah tadi secara berasingan. Bukan maknanya, kalau tak nampak anak bulan tengok kaedah hisab atau sebaliknya.

Sebenarnya asas yang digunakan ialah hisab kenampakan anak bulan. Rukyah menyokong kaedah tersebut lebih-lebih lagi untuk mengelakkan berlaku fitnah seperti contoh dengan kiraan hisab 20hb september adalah 1 syawal, tiba-tiba ada orang mendakwa melihat anak bulan pada 18 september. Jadi, sepatutnya raya ialah 19 september.

Bahkan, syarat-syarat nak merukyah pun agak rinci iaitu lokasinya dari hujung Sabah nun sampai ke hujung langkawi, anggota yang dilantik untuk merukyah terdiri dari ahli falak (nak seprong) wakil Majlis Agama dan wakil Mufti, penyimpan mohor besar raja-rajanya, kemudian restu Agung sebagai ketua agama Islam...

bila kerja seprongan telah dijalankan, setiap kawasan cerapan yang telah ditetapkan akan memberikan laporan kepada pusat pengumpulan laporan setiap negeri, sama ada nampak atau tidak, kalau tidak nampak disertakan alasan tidak nampak...pastu pusat di setiap negeri akan menghubungi pusat pengumpulam laporan cerapan kebangsaan, bila dah mustaid baru dipersembahkan kepada penyimpan mohor besar raja-raja, kemudian penyimpan mohor sembah kepada YDP Agung..dah setuju baru boleh war-warkan...

syarat anak bulan berdasarkan kaedah 238 : ketinggian bulan 2 darjah selepas matahari terbenam, lengkung sabitnya 3 darjah dan 8 jam selepas ijtimak dengan matahari.

begitulah secara ringkas dan umum, kaedah penentuan Ramdhan dan Syawal di Malaysia. Untuk mengetahu pandangan sarjana-sarjana Islam, boleh lawati laman web islamonline dan carilah tajuk moon sighting atau arabnya rukyah al-hilal...

untuk mengetahui secara detail tentang pencerapan anak bulan, Ustaz Baharuddin Zainal telah membentangkan isu tersebut, sila lihat di link ini :

http://www.falak.udm.edu.my/files/PPceramahFalak.pdf

atau lain-lain :

http://www.falak.udm.edu.my/?cat=Artikel_Falak&alink=20071117120243

http://www.falak.udm.edu.my/?cat=Artikel_Falak&alink=20071008131022

http://www.falak.udm.edu.my/?cat=Artikel_Falak&alink=20071025152113

Mengahwini wanita zina yang hamil

S : Boleh tak kahwin ngan seorang pompuan zina pasal ada ayat quran kata lelaki yang baik tu untuk perempuan yang baik.
kalau wanita tu mengandung, camner ngan edah dia?


J : Ayat quran tersebut ialah :

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki- laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga)

Ayat ini merujuk kepada Hadith al-Ifki iaitu fitnah ke atas Aisyah rha. yang dituduh ada hubungan dengan Safwan r.a. Ia menunjukkan kesucian 'Aisyah r.a. dan Safwan r.a.dari segala tuduhan yang ditujukan kepada mereka. Rasulullah adalah orang yang paling baik maka pastilah wanita yang baik pula yang menjadi istri beliau.

Hukum ayat ini dinasakhkan dengan ayat

Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Justeru, hukum berkahwin dengan penzina adalah harus...cuma ia jadi panduan untuk memilih jodoh.

Hukum berkahwin dengan wanita penzina hamil adalah dibenarkan di sisi mazhab kita Shafie kerana zina bukan dengan nikah yang sah, maka wanita tersebut tiada edah baginya.
Masalahnya ialah bin anak tadi, ia tidak boleh dibinkan dengan lelaki yang mengahwini ibunya tadi meskipun ia pasangan zinanya melainkan anak tersebut lahir setelah usianya lebih dari 6 bulan dari kandungan.

wallahualam.

Was-was solat

S : Assalamualaikum

nok tanya ustaz2 ttg keadah fekah 'feadah asal' dan 'yg yakin tidak dibatalkan
dgn yg syak' (gitu ke? lebih kurang kot)

masalah..
pada satu rakaat dlm sembahayang kita duduk membaca tahyat awal, sampai pada
satu ayat dari tahyat tu kita rasa macam baca doh tahyat pada rakaat sblum
ini.. maka kita memberhentikan tahyat, lalu iktidal untuk rakaat ke 3 (secara
automatiknya kerana hukumnya tahyat awal dibaca pada rakaat ke 2), kemudian
datang syak lagi (semasa iktidal) pada bacaan tahyat kita (yg tadi kita yakin
sudah membacanya) samada dibacanya pada rakaat pertama atau mmg pada rakaat
kedua..

soalan..
maka pada masalah ini perlukah kita menambah satu rakaat lagi atau kekal dgn
keyakinan asal kita tadi.. duk timbang dgn dua keadah diatas tapi dok dang nok
mikir.. ada sokmor muskil.. dok kemas wase


J : Abu Hannan Ustaz Mohamad Ali Yusuf

Waalikum salam wrh. wbt.

Bagi jawapan soalan..sekadar termampu seperti berikut

Bagi kaedah "YAKIN TIDAK TERLUPUT/TERBATAL OLEH SYAK" maka maksudnya ia
kena kembali kepada keadaan asal sebelum timbul syak/keraguan. Contohnya
seorang berwudu' tiba-tiba dia syak ada tak keluar angin maka kena kembali
kepada yakin iaitu keadaannya masih berwudu'(krn. perasan keluar angin itu
adalah syaknya).. sebaliknya kalau ia baru bangun tidur lps tu keluar
bilik air dan tiba-tiba dtg syak dah berwudu' ke belum ? maka kena kembali
kpd yakin iaitu sebelum masuk bilik air tadi keadaannya berhadas kecil
(tidak berwudu').

Dalam kes ni.. menurut pemahaman ambe.. masa tahayat awal
pertama tiba-tiba mari teringat dah tahiyat doh maka ikut kaedah di atas
hok yakinnya belum tahiyat lagi, hok mari teringat tu dikira syak..maka
sewajarnya diteruskan tahiyat dan anggaplah itulah tahiyat awal lepas tu
baru bangun utk meneruskan rakaat ketiga.. sehingga selesai.

Andai kata masa tahiyat akhir mari pula syak.. cukup rakaat ke tidak ?
(mungkin baru 3 rakaat) maka hok yakinnya 3 dan yg ke 4 tu dikira syak,
maka sewajarnya ditambah lagi satu rakaat kemudian tahiyat akhir sekali
lagi lps tu sujud sahwi dan beri salam.

Ringkasnya.. dalam sembahyang bila mari syak kena ambil hok minimun
contohnya dah 3 rakaat ke atau 4 rakaat maka ikut kaedah di atas 3 rakaat
sebab itulah yakin kita manakala 4 itu adalah syak. Macam juga Tawaf.. dah
7 kali ke atau baru 6 kali saya tawaf.. maka hok yakin 6 dan 7 itu adalah
syak.. maka kena bina atas yakin (iaitu baru 6 kali tawaf) dan buang syak
(dgn menambah sekali tawaf lagi).

Sayugia juga diingatkan.. bila mari rasa syak dalam apa jua perbuatan
sembahyang dan kita bina ibadat kita di atas rasa yakin tadi.. sebelum
salam pada tahiyat akhir kena sujud sahwi sbg kaffarah di atas kelemahan
kita sbgmana firman Allah SWT yg bermaksud :"Dan sesungguhnya aku tidak
dilalaikan (lupa) melainkan kerana perbuatan syaitan".

Imam Tamam Makmum Qasar

S : saya nak solat jamak ta'khir qasar, pastu ikut sorang imam yang nak wat jamak jugak. saya ingat dia solat isyak lu, saya pun niat isyak qasar...tetiba dalam rakaat kedua dia bangun, saya pun mufaraqah...ke camner utz?

J : al-fadhil ustaz Talib Abd Rahman

apabila seseorang solat niat qasar dan menjadi makmum kepada seorang yang solat tamam @ sempurna, maka apabila imam bangun untuk meneruskan solat dia wajib ikut bersama imam. maka niat qasarnya terbatal tetapi solatnya tidak terbatal, sebaliknya solatnya menjadi sempurna sebagaimana imam tersebut tamam dan dia tidak boleh mufaraqah.

Batal Puasa

Tuesday, September 15, 2009

S. Adakah merokok membatalkan puasa kerana ada ustaz beritahu ia tidak membatalkan puasa kerana ia bukan makanan? Macam sedut inhaler...

J. Puasa dari sudut fiqhnya terbatal kerana :

* Makan dan minum dengan sengaja
* Bersetubuh dengan sengaja di siang hari
* Muntah dengan sengaja seperti memasukkan jari ke dalam mulut
* Memasukkan sesuatu ke dalam rongga seperti hidung, telinga, dan sebagainya
* Bersalin
* Hilang akal disebabkan gila atau mabuk dengan sengaja
* Kedatangan haid bagi perempuan
* Mengeluarkan mani dengan sengaja pada waktu siang hari tetapi jika bermimpi tidak batal puasanya
* Murtad

Adapun fatwa terkini seperti yang diputuskan oleh Majma' Fiqh Islam yang menggabungkan para ulama dan juga pakar-pakar perubatan, menghukumkan perkara-perkara berikut tidak membatalkan puasa iaitu:

• UBAT TITIS, MATA, TITIS TELINGA, TITIS HIDUNG, BASUHAN TELINGA DAN INHALER YANG DIGUNAKAN PADA HIDUNG, JIKA DIJAUHI DARI MENELAN BAHAN YANG TERASA PADA TEKAK.
• KAPSUL YANG DILETAKKAN DIBAWAH LIDAH UNTUK RAWATAN MASALAH PERNAFASAN, JIKA DIJAUHI DARI MENELAN APA YANG TERASA PADA TEKAK.
• ALAT VAGINASCOPY DAN JUGA JARI YANG DIMASUKAN KE DALAM ALAT KELAMIN WANITA UNTUK MEMERIKSA KEDUDUKAN BAYI.
• MEMASUKAN ENDOSCOPY KE DALAM RAHIM WANITA
• MEMASUKKAN ALAT KE DALAM SALURAN ALAT KELAMAIN LELAKI MAHUPUN WANITA BAGI MEMERIKSA KEDUDUKAN SALURAN AIR KECNING.
• MENCABUT GIGI, MENGGOSOK GIGI, BERSIWAK DAN MENGGUNAKAN BERUS GIGI, JIKA DIJAUHI DARI MENELAN APA YANG TERASA PADA TEKAK.
• BERKUMUR-KUMUR DAN MENGGUNAKAN INHALER MELALUI MULUT, JIKA DIJAUHI DARI MENELAN APA YANG TERASA PADA TEKAK.
• SUNTIKAN PADA KULIT DAN SARAF YANG TIDAK MELIBATKAN MAKANAN ATAU GLUKOS.
• MENGGUNAKAN GAS OKSIGEN BAGI ORANG YANG MENYELAM DI LAUTAN.
• GAS UNTUK BIUS SELAGI TIDAK MELIBATKAN CECAIR YANG MENGANDUNGI UNSUR MAKANAN
• BAHAN-BAHAN YANG MASUK KE DALAM BADAN MELALUI CARA MERESAP SEPERTI MINYAK UBAT, BEDAK, GAM DAN LAIN-LAIN.
• ALATAN YANG DIMASUKAAN KE ADALAM SALURAN HALKUM BAGI MELIHAT SALURAN JANTUNG
• ALAT YANG DIMASUKAN MELALUI PERUT BAGI MELIHAT PENYAKIT YANG TERDAPAT DI DALAM USUS ATAU MENJALANKAN SATU-SATU OPERASI PEMBEDAHAN
• MENGAMBIL SAMPLE DARIPADA HATI DAN LAIN-LAIN ANGGOTA.
• MEMASUKAN ALAT KE DALAM PERUT UNTUK MELIHAT PENYAKIT YANG TERDAPAT DI DALAMNYA.
• MEMASUKAN ALAT KE DALAM OTAK ATAU BATANG OTAK UNTUK TUJUAN RAWATAN

Selain daripada itu termasuklah juga menderma darah dan mengambil ujian darah.

Justeru, meskipun perkara-perkara tersebut termasuk dalam memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang membatalkan puasa, tetapi majma` menetapkan ia diharuskan kerana darurat perubatan. Maqasid daripada perkara tersebut ialah menjaga nyawa dan diri pesakit.

Merokok tetap dihukumkan membatalkan puasa.

Pandangan peribadi : Perkara-perkara yang telah diputuskan dengan kemas oleh para ulama dulu perlu dipertahankan selagi tidak ada keperluan darurat untuk mengubahnya meskipun ada hujah.
Justeru, keadaan-keadaan perubatan dan rawatan tersebut adalah pengecualian daripada hukum asal. Lantaran tiada keperluan untuk mengharuskan rokok bahkan sebahagian besar ulama' mengharamkannya, ia tidak perlu dirungkai kembali hukum pembatalan puasa kerana merokok.
Wallahua`lam

Alu-aluan

Monday, September 14, 2009

ربما أفادَك في ليل القبض ما لم تستفده في إشراق نهار البَسْط لا تذرون أيهم أقرب لكم نفعا

Kemungkinan kamu memperolehi makrifat dalam gelapnya malam @ kesedihan sesuatu yang kamu tidak dapat dalam sinarnya siang @ nikmat. Kamu tidak tahu yang mana satu baik bagimu.(al-Hikam)

Mudah-mudahan laman ini menjadi wasilah kepada hidayah Allah dan rahmatNya.