Bila dipuji orang

Wednesday, December 14, 2011

M : Apa yang perlu dibuat bila ada orang memuji kita?

J : Pujian ada yang diharuskan dan ada yang dilarang. Sekiranya pujian tersebut boleh memberi galakan kepada yang dipuji untuk tetap dalam kebaikan tersebut atau untuk menjelaskan hal keadaannya kepada orang ramai, maka ini diharuskan sebagaimana Nabi s.a.w. memuji Abu Bakar dan Umar r.ma. contohnya.

Tetapi jika pujian tersebut untuk bermegah-megah atau mengampu dan menyebabkan yang dipuji riak atau pun pujian tersebut melampau-lampau, maka ia dilarang sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. daripada Saydnia Uthman r.a. :

إذا رأيتم المدَّاحين فاحثوا في وجوههم التراب " رواه مسلم
Maksudnya : jika kamu dapati ada orang memuji2 secara melampau maka lemparkan tanah ke atas mukanya.

Sebaiknya, bacalah doa :

اللّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ وَاغْفِرْ لِي مَا لاَ يَعْلَمُونَ

Maksudnya : Wahai Tuhan! janganlah Dikau ambil kira ke atasku apa yang mereka katakan dan ampunkanlah daku apa yang mereka tidak mengetahuinya.

Doa ini merupakan doa Abu Bakar al-Siddiq r.a. Mudah2an dengan doa ini akan mengelakkan kita dari riya' dan `ain serta hasad dengki manusia di samping mendapatkan keredaan Allah.
Wallahualam

Jamak bagi Doktor yang Melakukan Pembedahan

Thursday, December 1, 2011

S : Saya ada tengok YouTube, Ustaz Azhar Idrus kata doktor yang melakukan operation sehingga habis waktu solat tak payah solat tapi qada' je. Bukan boleh jamak ke ustaz sebab masyaqqah?

J : Soalan ini telah dirujuk kepada Ustaz Khiral Anwar bin Daud. Ustaz tidak layak mengulas jawapan Ustaz Azhar Idrus.

Keadaan doktor tersebut ialah seperti seorang yang terpaksa menyelamatkan seorang yang mati lemas. Dia wajib menyelamatkan orang tersebut meskipun terpaksa meninggalkan solatnya sehingga luput. Apabila telah selesai kewajipannya, maka dia hendaklah mengqadak solat yang ditinggalkannya tadi.

Begitulah halnya dengan doktor tersebut dengan syarat telah berusaha untuk mengelakkan keluputan waktu tersebut dan bukan sengaja mengabaikan halangan-halangan solat tadi.

Adapun pesakit tadi boleh melakukan jamak kerana masyaqqah.

Wallahualam.

Samak dengan Sabun Taharah

S : Ustaz, boleh tak samak najis berat dengan sabun Taharah?

J : Samak atau pun Dibagh ialah istilah membersihkan kulit bangkai untuk dimanfaatkan dengan sesuatu yang 'tajam' seperti tawas dll termasuk bahan-bahan kimia yang digunakan pada zaman ini. Membersihkan najis berat atau mugallazoh tidak diistilahkan sebagai samak.

Najis mughallazoh boleh disucikan di sisi mazhab Shafie dengan membasuhnya 7X di mana 1X basuhany tersebut menggunakan air tanah. Tanah yang dimaksudkan di sini ialah yang sah untuk bertayammum dan air tersebut adalah keruh dengan bercampur tanah.

Sekiranya komponen sabun Taharah itu merangkumi sebahagian besarnya tanah dan bahan-bahannya lain adalah sedikit nisbah dengan tanah, maka ia boleh digunakan untuk membasuh najis mugallazoh. Wallahualam.

Hukum sedeqah atas nama si mati dan bacaan al-Quran

S : saya baru terima harta pusaka daripada kematian isteri..boleh tak saya sedeqahkannya atas nama isteri tu? sampai tak pahalanya ustaz? kalau saya baca Quran dan hadiahkan pahalanya untuk isteri, sampai juga ke? trmksh..

J : bermanfaat inshaAllah buat arwah isteri sedeqah tersebut. Ini telah disebut oleh Syekh al-Malibary dalam kitabnya Fath al-Mu`in.

Tentang bacaan Qur'an tadi, pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam Syarh Muslim, pahala pembacaannya tidak sampai.

Al-Subki menjelaskan, pahala tersebut tidak sampai jika tidak dibacakan di sisi si mati atau tidak diniatkan kepada si mati atau tidak diniatkan tetapi tidak disertakan dengan doa kepadanya.

Imam al-Shafie dan sahabatnya (muridnya) meentapkan sunnah membaca Quran yang mudah bagi pembacanya di sisi si mati dan disambung dengan doa kerana lebih mustajab dan mendatangkan keberkatan kepada si mati.

Para ulama al-Shafi`iyyah termasuk Imam Subki menyatakan pahala tersebut sampai kepada si mati dengan diqasadkan kepadanya.

Justeru, bolehlah berpegang kepada mana-mana pendapat tersebut tanpa mentohmah antara satu sama lain. Wallahualam.