Masalah Penyakit Keluar Angin

Wednesday, February 15, 2012

S : saya sering mengeluarkan angin dari jalan depan mahupun belakang. Doktor mengesahkan penyakit saya dan memberi rawatan. Masalahnya, penyakit tersebut masih ada dan menyukarkan saya untuk wuduk dan solat sehingga kadang-kadang berulangkali dan menyebabkan saya sering terlewat waktu. Macamana penyelesaiannya ?

J : Jawapan ini dirujuk kepada al-Fadhil Ustaz Talib Abd. Rahman

Sekiranya tidak pasti samada keluar angin atau tidak, maka ia dikira waswas. Hendaklah mengikut kaedah bau dan bunyi. Iaitu sekiranya waswas keluar angin, maka jika tiada bunyi atau bau, hendaklah meneruskan solatnya.

Jika pasti keluar angin tetapi sentiasa berterusan dan tidak mampu menahannya atau kesukaran kerana angin sentiasa keluar, maka ia sama seperti masalah orang yang kencing dedas (سلس البول). Hendaklah dia menyumbat rongga faraj @ dubur (paling mudah memakai pad @ panty liner) ketika masuk waktu, mengambil wuduk dan terus bersolat. Pada ketika itu, walaupun ada angin keluar, ia dimaafkan dan solatnya sah.

Satu wuduk adalah untuk satu solat fardu dan tiada had bagi solat sunat.

Wallahualam.

Zakat ke Madrasah

S : saya beri zakat harta ke Madrasah xxx untuk program MaulidurRasu dalam asnaf fi sabilillah sebab saya dengar boleh. Pejabat Agama pun beri ke sekolah-sekolah.. Boleh ke saya makan jamuan majlis tu?

J : telah dibincangkan dengan al-Fadhil Ustaz Talib bin Abd Rahman

Zakat diberi kepada asnaf yang lapan dalam bentuk manusia bukan institusi. Justeru, ia bukanlah zakat sebaliknya sumbangan sahaja. Ia sah zakat jika diberi kepada penceramahnya atau mudirnya untuk perjuangan fi sabilillah, bukan kepada madrasah. Jika penceramah atau mudir memberi zakat tersebut pula kepada majlis tersebut maka ia bukan dalam bentuk zakat, tetapi sumbangannya hasil daripada harta zakat yang sudah menjadi miliknya.

Begitu juga yang dilakukan oleh Pejabat Agama di mana sumbangan ke sekolah-sekolah bukan pemberian zakat, sebaliknya ia adalah bahagiannya sebagai amil. Apabila sudah menjadi harta amil, maka Pejabat Agama berhak menggunakannya menurut apa yang dikehendakinya.

Wallahualam.

Nifas Wanita Keguguran

Friday, February 3, 2012

S : Bagaimana nifas wanita yang gugur anak ? Ada atau dikira istihadhah ? Sekian, trmksh ustaz.

J : Nifas wanita yang keguguran anak adalah sama dengan nifas wanita yang melahirkan anak. Paling minima ialah seketika dan paling lama ialah selama 60 hari. selepas itu dikira istihadhah.

Hanya yang membezakan antara keduanya ialah anak yang baru lahir tersebut. Sekiranya keguguran selepas mencecah 4 bulan, wajib dimandikan, dikafankan.

Sekiranya belum cukup 4 bulan (siqatt), maka wajib dibungkus dengan kain lalu ditanam tetapi boleh jika mahu dimandikan. Sekiranya ia berbentuk ketulan darah atau daging, ditanam tanpa perlu dibungkus dengan kain.

Wallahualam.

Qada' Solat Orang Pengsan

S : Ustaz, orang yang pengsan sepanjang waktu wajib qada' atau tidak? Kalau orang tu tidur pada ketika masuk waktu dah sebab letih sangat, boleh ke? Terima kasih.

J : Menurut pendapat yang muktamad, orang yang pengsan sepanjang waktu solat tidak wajib qada' kerana gugur taklif ke atasnya. Jika dia tersedar ketika masih ada baki waktu tapi tidak sempat menunaikan solat, maka ia wajib qada' kerana taklifnya ada ketika itu. Berbeza dengan orang tidur, dia dikira mukallaf dan wajib solat. Jika dia terlepas waktu solat kerana tidur, maka wajib baginya qada'.

Adapun keadaan orang yang tidur ketika waktu sudah masuk, maka jika dia boleh terjaga ketika dalam waktu yang diharuskan solat, ia dibenarkan. Jika ia khuatir akan terjaga dalam waktu akhir, hendaklah mengutamakan solat dahulu. Jika khuatir terjaga dan terlepas waktu, haram baginya tidur dan hendaklah dia menunaikan solat walaupun dalam keadaan mengantuk.

Perlu diberi perhatian supaya berikhtiar untuk terjaga dengan apa jua cara seperti jam loceng atau memesan sahabat agar mengejutkannya dan hendaklah diingat bahawa waktu Maghrib dan waktu Subuh adalah singkat di negara kita. Maka sayugialah menunaikan solat dahulu khususnya waktu Maghrib.

Wallahualam.