Masalah Penyakit Keluar Angin

Wednesday, February 15, 2012

S : saya sering mengeluarkan angin dari jalan depan mahupun belakang. Doktor mengesahkan penyakit saya dan memberi rawatan. Masalahnya, penyakit tersebut masih ada dan menyukarkan saya untuk wuduk dan solat sehingga kadang-kadang berulangkali dan menyebabkan saya sering terlewat waktu. Macamana penyelesaiannya ?

J : Jawapan ini dirujuk kepada al-Fadhil Ustaz Talib Abd. Rahman

Sekiranya tidak pasti samada keluar angin atau tidak, maka ia dikira waswas. Hendaklah mengikut kaedah bau dan bunyi. Iaitu sekiranya waswas keluar angin, maka jika tiada bunyi atau bau, hendaklah meneruskan solatnya.

Jika pasti keluar angin tetapi sentiasa berterusan dan tidak mampu menahannya atau kesukaran kerana angin sentiasa keluar, maka ia sama seperti masalah orang yang kencing dedas (سلس البول). Hendaklah dia menyumbat rongga faraj @ dubur (paling mudah memakai pad @ panty liner) ketika masuk waktu, mengambil wuduk dan terus bersolat. Pada ketika itu, walaupun ada angin keluar, ia dimaafkan dan solatnya sah.

Satu wuduk adalah untuk satu solat fardu dan tiada had bagi solat sunat.

Wallahualam.

Zakat ke Madrasah

S : saya beri zakat harta ke Madrasah xxx untuk program MaulidurRasu dalam asnaf fi sabilillah sebab saya dengar boleh. Pejabat Agama pun beri ke sekolah-sekolah.. Boleh ke saya makan jamuan majlis tu?

J : telah dibincangkan dengan al-Fadhil Ustaz Talib bin Abd Rahman

Zakat diberi kepada asnaf yang lapan dalam bentuk manusia bukan institusi. Justeru, ia bukanlah zakat sebaliknya sumbangan sahaja. Ia sah zakat jika diberi kepada penceramahnya atau mudirnya untuk perjuangan fi sabilillah, bukan kepada madrasah. Jika penceramah atau mudir memberi zakat tersebut pula kepada majlis tersebut maka ia bukan dalam bentuk zakat, tetapi sumbangannya hasil daripada harta zakat yang sudah menjadi miliknya.

Begitu juga yang dilakukan oleh Pejabat Agama di mana sumbangan ke sekolah-sekolah bukan pemberian zakat, sebaliknya ia adalah bahagiannya sebagai amil. Apabila sudah menjadi harta amil, maka Pejabat Agama berhak menggunakannya menurut apa yang dikehendakinya.

Wallahualam.

Nifas Wanita Keguguran

Friday, February 3, 2012

S : Bagaimana nifas wanita yang gugur anak ? Ada atau dikira istihadhah ? Sekian, trmksh ustaz.

J : Nifas wanita yang keguguran anak adalah sama dengan nifas wanita yang melahirkan anak. Paling minima ialah seketika dan paling lama ialah selama 60 hari. selepas itu dikira istihadhah.

Hanya yang membezakan antara keduanya ialah anak yang baru lahir tersebut. Sekiranya keguguran selepas mencecah 4 bulan, wajib dimandikan, dikafankan.

Sekiranya belum cukup 4 bulan (siqatt), maka wajib dibungkus dengan kain lalu ditanam tetapi boleh jika mahu dimandikan. Sekiranya ia berbentuk ketulan darah atau daging, ditanam tanpa perlu dibungkus dengan kain.

Wallahualam.

Qada' Solat Orang Pengsan

S : Ustaz, orang yang pengsan sepanjang waktu wajib qada' atau tidak? Kalau orang tu tidur pada ketika masuk waktu dah sebab letih sangat, boleh ke? Terima kasih.

J : Menurut pendapat yang muktamad, orang yang pengsan sepanjang waktu solat tidak wajib qada' kerana gugur taklif ke atasnya. Jika dia tersedar ketika masih ada baki waktu tapi tidak sempat menunaikan solat, maka ia wajib qada' kerana taklifnya ada ketika itu. Berbeza dengan orang tidur, dia dikira mukallaf dan wajib solat. Jika dia terlepas waktu solat kerana tidur, maka wajib baginya qada'.

Adapun keadaan orang yang tidur ketika waktu sudah masuk, maka jika dia boleh terjaga ketika dalam waktu yang diharuskan solat, ia dibenarkan. Jika ia khuatir akan terjaga dalam waktu akhir, hendaklah mengutamakan solat dahulu. Jika khuatir terjaga dan terlepas waktu, haram baginya tidur dan hendaklah dia menunaikan solat walaupun dalam keadaan mengantuk.

Perlu diberi perhatian supaya berikhtiar untuk terjaga dengan apa jua cara seperti jam loceng atau memesan sahabat agar mengejutkannya dan hendaklah diingat bahawa waktu Maghrib dan waktu Subuh adalah singkat di negara kita. Maka sayugialah menunaikan solat dahulu khususnya waktu Maghrib.

Wallahualam.

Aqidah Ahlussunnah wal Jama'ah

Friday, January 27, 2012

M : SIAPAKAH AHLUSSUNNAH WAL JAMA’AH: GOLONGAN YANG SELAMAT (al Firqah an-Najiyah)?

Bersabda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, maknanya:“dan sesungguhnya ummat ini akan terpecah menjadi 73 golongan, 72 di antaranya di neraka dan hanya satu yang di surga yaitu al-Jama’ah”. (H.R. Abu Dawud)

Akal adalah syahid (saksi dan bukti) akan kebenaran syara’. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh ulama tauhid atau ulama al-kalam (teologi). Yang mereka lakukan adalah taufiq (pemaduan) antara kebenaran syara’ dengan kebenaran akal, mengikuti jejak nabi Ibrahim -seperti dikisahkan al-Quran- ketika membantah raja Namrud dan kaumnya, di mana beliau menundukkan mereka dengan dalil akal. Fungsi akal dalam agama adalah sebagai saksi bagi kebenaran syara’ bukan sebagai peletak dasar bagi agama itu sendiri. Berbeza dengan golongan falsafah yang berbicara tentang Allah, malaikat dan banyak hal lainnya yang hanya berdasarkan penilaian akal semata-mata. Mereka menjadikan akal sebagai dasar agama tanpa memandang ajaran yang dibawa para nabi dan rasul.

Tuduhan kaum Musyabbihah dan Mujassimah iaitu kaum yang sama sekali tidak memfungsikan akal dalam agama, terhadap Ahlussunnah Wal Jamaah sebagai ’Aqlaniyyun (kaum yang hanya mengutamakan akal) atau sebagai kaum Mu’tazilah atau Afrakh al-Mu’tazilah (anak bibitan kaum Mu’tazilah) dengan alasan kerana menggunakan akal sebagai salah satu sumber utama, adalah tuduhan yang amat salah. Ini tidak ubah seperti kata pepatah arab “Qabihul Kalam Silahulliam” (kata-kata yang jelek adalah senjata para pengecut). Secara ringkas tetapi namun padat, kita ketengahkan pembahasan tentang Ahlussunnah sebagai al-Firqah an-Najiyah (golongan yang selamat), asal-usulnya, dasar-dasar ajaran dan sistemnya.

PENGENALAN DAN KRONOLOGI SEJARAH

Sejarah mencatat bahawa di kalangan umat Islam bermula dari abad-abad permulaan (mulai dari masa khalifah sayyidina Ali ibn Abi Thalib) sehinggalah sekarang terdapat banyak firqah (golongan) dalam masalah aqidah yang saling bertentangan di antara satu sama lain. Ini fakta yang tidak dapat dibantah. Bahkan dengan tegas dan jelas Rasulullah telah menjelaskan bahawa umatnya akan berpecah menjadi 73 golongan. Semua ini sudah tentunya dengan kehendak Allah dengan berbagai hikmah tersendiri, walaupun tidak kita ketahui secara pasti. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Namun Rasulullah juga telah menjelaskan jalan selamat yang harus kita ikuti dan panuti agar tidak terjerumus dalam kesesatan. Iaitu dengan mengikuti apa yang diyakini oleh al-Jama’ah; majoriti umat Islam. Karena Allah telah menjanjikan kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad, bahawa umatnya tidak akan tersesat selama mana mereka berpegang teguh kepada apa yang disepakati oleh kebanyakan mereka. Allah tidak akan menyatukan mereka dalam kesesatan. Kesesatan akan menimpa mereka yang menyimpang dan memisahkan diri dari keyakinan majoriti.

Majoriti umat Muhammad dari dulu sampai sekarang adalah Ahlussunnah Wal Jama’ah. Mereka adalah para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dalam Ushul al-I’tiqad (dasar-dasar aqidah); iaitu Ushul al-Iman al-Sittah (dasar-dasar iman yang enam) yang disabdakan Rasulullah dalam hadith Jibril uang bermaksud : “Iman adalah engkau mempercayai Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab- kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhir serta Qadar (ketentuan Allah); yang baik maupun buruk”. (H.R. al Bukhari dan Muslim)

Perihal al-Jama’ah dan pengertiannya sebagai majoriti umat Muhammad yang tidak lain adalah Ahlussunnah Wal Jama’ah tersebut dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: “Aku berwasiat kepada kalian untuk mengikuti sahabat-sahabatku, kemudian mengikuti orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian mengikuti yang datang setelah mereka“. Dan termasuk rangkaian hadith ini: “Tetaplah bersama al-Jama’ah dan jauhi perpecahan karena syaitan akan menyertai orang yang sendiri. Dia (syaitan) dari dua orang akan lebih jauh, maka barang siapa menginginkan tempat lapang di syurga hendaklah ia berpegang teguh pada (keyakinan) al-Jama’ah”. (H.R. at-Tirmidzi; berkata hadith ini Hasan Shahih juga hadith ini dishahihkan oleh al-Hakim).

Al-Jama’ah dalam hadith ini tidak boleh diertikan dengan orang yang selalu melaksanakan solat dengan berjama’ah, jama’ah masjid tertentu. Konteks pembicaraan hadith ini jelas mengisyaratkan bahwa yang dimaksud al-Jama’ah adalah majoriti umat Muhammad dari sisi jumlah(‘adad). Penafsiran ini diperkuatkan juga oleh hadith yang dinyatakan di awal pembahasan. Iaitu hadith riwayat Abu Daud yang merupakan hadith Shahih Masyhur, diriwayatkan oleh lebih dari 10 orang sahabat. Hadith ini memberi kesaksian akan kebenaran majoriti umat Muhammad bukan kesesatan firqah-firqah yang menyimpang. Jumlah pengikut firqah-firqah yang menyimpang ini, jika dibandingkan dengan pengikut Ahlussunnah Wal Jama’ah sangatlah sedikit. Seterusnya di kalangan Ahlussunnah Wal Jama’ah terdapat istilah yang popular iaitu “ulama salaf”. Mereka adalah orang-orang yang terbaik dari kalangan Ahlusssunnah Wal Jama’ah yang hidup pada 3 abad pertama hijriyah sebagaimana sabda nabi yang maknanya: “Sebaik-baik abad adalah abadku kemudian abad setelah mereka kemudian abad setelah mereka”. (H.R. Tirmidzi)

Pada masa ulama salaf ini, di sekitar tahun 260 H, mula tercetus bid’ah Mu’tazilah, Khawarij, Musyabbihah dan lain-lainnya dari kelompok-kelompok yang membuat fahaman atau mazhab baru. Kemudian muncullah dua imam muktabar pembela Aqidah Ahlussunnah iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari (W. 324 H) dan Imam Abu Manshur al-Maturidi (W. 333 H) –semoga Allah meridhai keduanya–menjelaskan aqidah Ahlussunnah Wal Jama’ah yang diyakini para sahabat Nabi Muhammad dan orang-orang yang mengikuti mereka, dengan mengemukakan dalil-dalil naqli (nas-nas al-Quran dan Hadith) dan dalil-dalil aqli (argumentasi rasional) disertaikan dengan bantahan-bantahan terhadap syubhat-syubhat (sesuatu yang dilontarkan untuk mengaburkan hal yang sebenarnya) golongan Mu’tazilah, Musyabbihah, Khawarij dan ahli bid’ah lainnya.

Disebabkan inilah Ahlussunnah dinisbahkan kepada keduanya. Mereka; Ahlussunnah Wal Jamaah akhirnya dikenali dengan nama al-Asy’ariyyun (para pengikut Imam Abu al-Hasan Asy’ari) dan al-Maturidiyyun (para pengikut Imam Abu Manshur al-Maturidi). Hal ini menunjukkan bahawa mereka adalah satu golongan iaitu al-Jama’ah. Kerana sebenarnya jalan yang ditempuhi oleh al-Asy’ari dan al-Maturidi dalam pokok aqidah adalah sama dan satu. Adapun perbezaan yang terjadi di antara keduanya hanyalah pada sebahagian masalah-masalah furu’ (cabang) aqidah. Hal tersebut tidak menjadikan keduanya saling berhujah dan berdebat atau saling menyesatkan, serta tidak menjadikan keduanya terlepas dari ikatan golongan yang selamat (al-Firqah al-Najiyah). Perbezaan antara al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah ini adalah seperti perselisihan yang terjadi di antara para sahabat nabi, tentang adakah Rasulullah melihat Allah pada saat Mi’raj? Sebahagian sahabat, seperti ‘Aisyah dan Ibn Mas’ud mengatakan bahawa Rasulullah tidak melihat Tuhannya ketika Mi’raj. Sedangkan Abdullah ibn ‘Abbas mengatakan bahawa Rasulullah melihat Allah dengan hatinya. Allah memberi kemampuan melihat kepada hati Nabi Muhammad atau membuka hijab sehingga dapat melihat Allah. Namun demikian al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah ini tetap bersama atau bersefahaman dan sehaluan dalam dasar-dasar aqidah. Al-Hafiz Murtadha az-Zabidi (W. 1205 H) mengatakan:“Jika dikatakan Ahlussunnah wal Jama’ah, maka yang dimaksud adalah al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah “. (Al-Ithaf Syarah li Ihya Ulumuddin, juz 2 hlm 6)

Maka aqidah yang sebenar dan diyakini oleh para ulama salaf yang soleh adalah aqidah yang diyakini oleh al-Asy’ariyyah dan al-Maturidiyyah. Kerana sebenarnya keduanya hanyalah merumuskan serta membuat ringkasan yang mudah (method) dan menjelaskan aqidah yang diyakini oleh para nabi dan rasul serta para sahabat. Aqidah Ahlusssunnah adalah aqidah yang diyakini oleh ratusan juta umat Islam, mereka adalah para pengikut madzhab Syafi’i, Maliki, Hanafi, serta orang-orang yang utama dari madzhab Hanbali (Fudhala’ al-Hanabilah).

Aqidah ini diajarkan di pondok-pondok Ahlussunnah di negara kita Malaysia,Indonesia,Thailand dan lain-lainnya.Dan Alhamdulillah, aqidah ini juga diyakini oleh ratusan juta kaum muslimin di seluruh dunia seperti Brunei, India, Pakistan, Mesir (terutama al-Azhar), negara-negara Syam (Syria, Jordan, Lubnan dan Palestin), Maghribi,Yaman, Iraq, Turki, Chechnya, Afghanistan dan banyak lagi di negara-negara lainnya.



Maka wajib bagi kita untuk sentiasa memberi penuh perhatian dan serius dalam mendalami aqidah al- Firqah al-Najiyah yang merupakan aqidah golongan majoriti. Kerana ilmu aqidah adalah ilmu yang paling mulia, sebab ia menjelaskan pokok atau dasar agama. Abu Hanifah menamakan ilmu ini dengan al-Fiqh al-Akbar. Kerana mempelajari ilmu ini wajib diutamakan dari mempelajari ilmu-ilmu lainnya. Setelah selesai atau khatam mempelajari ilmu ini barulah disusuli dengan ilmu-ilmu Islam yang lain. Inilah method yang diikuti para sahabat nabi dan ulama rabbaniyyun dari kalangan salaf maupun khalaf dalam mempelajari agama ini. Tradisi ini telah bermula dari zaman Rasulullah, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Umar dan Jundub, maknanya: “Kami ketika remaja saat mendekati baligh- bersama Rasulullah mempelajari iman (tauhid) dan belum mepelajari al-Qur’an. Kemudian kami mempelajari al-Qur’an maka bertambahlah keimanan kami”. (H.R. Ibnu Majah dan dishahihkan oleh al-Hafidz al-Bushiri).

Ilmu aqidah juga disebut dengan ilmu kalam. Hal ini kerana ramainya golongan yang menyalahgunakan nama Islam namun menentang aqidah Islam yang sebenar dan banyaknya kalam (argumentasi) dari setiap golongan untukmembela aqidah mereka yang sesat. Tidak semua ilmu kalam itu tercela, sebagaimana dikatakan oleh golongan Musyabbihah (kelompok yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya). Akan tetapi ilmu kalam terbahagi menjadi dua bahagian ; ilmu kalam yang terpuji dan ilmukalam yang tercela. Ilmu kalam yang kedua inilah yang menyalahi aqidah Islam kerana dikarang dan dipelopori oleh golongan-golongan yang sesat seperti Mu’tazilah, Musyabbihah (golongan yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, sepeti kaum Wahabiyyah) dan ahli bid’ah lainnya. Adapun ilmu kalam yang terpuji ialah ilmu kalam yang dipelajari oleh Ahlussunah untuk membantah golongan yang sesat. Dikatakan terpuji kerana pada hakikatnya ilmu kalam Ahlussunnah adalah taqrir dan penyajian prinsip-prinsip aqidah dalam formatnya yang sistematik dan argumentatif; dilengkapi dengan dalil-dalil naqli dan aqli. Dasar-dasar ilmu kalam ini telah wujud di kalangan para sahabat. Di antaranya, Imam Ali ibn Abi Thalib dengan argumentasinya yang kukuh dapat mengalahkan golongan Khawarij, Mu’tazilah dan juga dapat membantah empat puluh orang yahudi yang meyakini bahwa Allah adalah jisim (benda). Demikian pula Abdullah ibn Abbas, Al-Hasan ibn Ali ibn Abi Thalib dan Abdullah ibn Umar juga membantah kaum Mu’tazilah. Sementara dari kalangan tabi’in; Imam al-Hasan al-Bashri, Imam al-Hasan ibn Muhamad ibn al-Hanafiyyah; cucu Saidina Ali ibn Abi Thalib dan khalifah Umar ibn Abdul Aziz juga pernah membantah kaum Mu’tazilah. Kemudian juga para imam dari empat mazhab; Imam Syafi’i, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, dan Imam Ahmad juga menekuni dan menguasai ilmu kalam ini. Sebagaimana dinukilkan oleh al-Imam Abu Manshur al-Baghdadi (W 429 H) dalam kitab Ushul ad-Din, al-Hafizh Abu al-Qasim ibn ‘Asakir (W 571 H) dalam kitab Tabyin Kadzib al Muftari, al-Imam az-Zarkasyi (W 794 H) dalam kitab Tasynif al-Masami’ dan al ‘Allamah al Bayyadli (W 1098 H) dalam kitab Isyarat al-Maram dan lain-lain. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ketahuilah bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah dan mohonlah ampun atas dosamu”. (Muhammad :19) Ayat ini sangat jelas mengisyaratkan keutamaan ilmu ushul atau tauhid. Yaitu dengan menyebut kalimah tauhid (la ilaha illallah) lebih dahulu dari pada perintah untuk beristighfar yang merupakan furu’ (cabang) agama. Ketika Rasulullah ditanya tentang sebaik-baiknya perbuatan, beliau Menjawab,maknanya: “Iman kepada Allah dan rasul-Nya”. (H.R. Bukhari) Bahkan dalam sebuah hadits Rasulullah mengkhususkan dirinya sebagai orang yang paling mengerti dan faham ilmu tauhid, beliau bersabda,maknanya: “Akulah yang paling mengerti di antara kalian tentang Allah dan paling takut kepada-Nya”. (H.R. Bukhari)

Kerana itu, sangat banyak ulama yang menulis kitab-kitab khusus mengenai penjelasan aqidah Ahlussunnah Wal Jama’ah ini. Seperti Risalah al-’Aqidah ath-Thahawiyyah karya al-Imam as-Salafi Abu Ja’far ath-Thahawi (W 321 H), kitab al‘Aqidah an-Nasafiyyah karangan al Imam ‘Umar an-Nasafi (W 537 H), al-‘Aqidah al-Mursyidah karangan al-Imam Fakhr ad-Din ibn ‘Asakir (W 630 H), al ‘Aqidah ash-Shalahiyyah yang ditulis oleh al-Imam Muhammad ibn Hibatillah al-Makki (W 599H); beliau menamakannya Hadaiq al-Fushul wa Jawahir al Uqul, kemudian menghadiahkan karyanya ini kepada sultan Shalahuddin al-Ayyubi (W 589 H).

Tentang risalah aqidah yang terakhir disebutkan, sultan Shalahuddin sangat tertarik dengannya hingga beliau memerintahkan untuk diajarkan sampai kepada anak-anak kecil di madrasah-madrasah, yang akhirnya risalah aqidah tersebut dikenal dengan nama al ‘Aqidah ash-Shalahiyyah. Sultan Shalahuddin adalah seorang ‘alim yang bermadzhab Syafi’i, mempunyai perhatian khusus dalam menyebarkan al ‘Aqidah as-Sunniyyah. Beliau memerintahkan para muadzdzin untuk mengumandangkan al ‘Aqidah as-Sunniyyah di waktu tasbih (sebelum adzan shubuh) pada setiap malam di Mesir, seluruh negara Syam (Syiria, Yordania, Palestina dan Lebanon), Mekkah, Madinah, dan Yaman sebagaimana dikemukakan oleh al Hafizh as-Suyuthi (W 911 H) dalam al Wasa-il ila Musamarah al Awa-il dan lainnya. Sebagaimana banyak terdapat buku-buku yang telah dikarang dalam menjelaskan al ‘Aqidah as-Sunniyyah dan senantiasa penulisan itu terus berlangsung. Kita memohon kepada Allah semoga kita meninggal dunia dengan membawa aqidah Ahlissunah Wal Jamaah yang merupakan aqidah para nabi dan rasul Allah. Amin.

PANDANGAN JUMHUR ULAMA TENTANG AQIDAH ASY’ARIYYAH; AQIDAH AHLUSSUNNAH WAL JAMA’AH

As-Subki dalam Thabaqatnya berkata: “Ketahuilah bahwa Abu al-Hasan al-Asy’ari tidak membawa ajaran baru atau madzhab baru, beliau hanya menegaskan kembali madzhab salaf, menghidupkan ajaran-ajaran sahabat Rasulullah. Penisbatan nama kepadanya kerana beliau konsisten dalam berpegang teguh ajaran salaf, hujjah (argumentasi) yang beliau gunakan sebagai landasan kebenaran aqidahnya juga tidak keluar dari apa yang menjadi hujjah para pendahulunya, kerananya para pengikutnya kemudian disebut Asy’ariyyah. Abu al-Hasan al-Asy’ari bukanlah ulama yang pertama kali berbicara tentang Ahlussunnah wal Jama’ah, ulama-ulama sebelumya juga banyak berbicara tentang Ahlussunnah wal Jama’ah. Beliau hanya lebih memperkuat ajaran salaf itu dengan argumen-argumen yang kuat. Bukankah penduduk kota Madinah banyak dinisbatkan kepada Imam Malik, dan pengikutnya disebut al Maliki. Ini bukan berarti Imam Malik membawa ajaran baru yang sama sekali tidak ada pada para ulama sebelumnya, melainkan karena Imam Malik menjelaskan ajaran-ajaran lama dengan penjelasan yang lebih terang, jelas dan sistematis demikian juga yang dilakukan oleh Abu al-Hasan al-Asy’ari”.

Habib Abdullah ibn Alawi al-Haddad menegaskan bahwa “kelompok yang benar adalah kelompok Asy’ariyah yang dinisbatkan kepada Imam Asy’ari. Aqidahnya juga aqidah para sahabat dan tabi’in, aqidah ahlul haqq dalam setiap masa dan tempat, aqidahnya juga menjadi aqidah kaum sufi sejati. Hal ini sebagaimana diceritakan oleh Imam Abul Qasim al-Qusyayri. Dan Alhamdulillah aqidahnya juga menjadi aqidah kami dan saudara-saudara kami dari kalangan habaib yang dikenal dengan keluarga Abu Alawi, juga aqidah para pendahulu kita. Kemudian beliau melantunkan satu bait sya’ir:

وكن أشعريا في اعتقادك إنه هو المنهل الصافي عن الزيغ والكفر “Jadilah pengikut al Asy’ari dalam aqidahmu, karena ajarannya adalah sumber yangbersih dari kesesatan dan kekufuran”.

Ibnu ‘Abidin al Hanafi mengatakan dalam Hasyiyah Radd al Muhtar ‘ala ad-Durr al Mukhtar : “Ahlussunnah Wal Jama’ah adalah al Asya’irah dan al Maturidiyyah”. Dalam kitab ‘Uqud al Almas al Habib Abdullah Alaydrus al Akbar mengatakan : “Aqidahku adalah aqidah Asy’ariyyah Hasyimiyyah Syar’iyyah sebagaimana Aqidah para ulama madzhab syafi’i dan Kaum Ahlussunnah Shufiyyah”. Bahkan jauh sebelum mereka ini Al-Imam al ‘Izz ibn Abd as-Salam mengemukakan bahawa aqidah al Asy’ariyyah disepakati oleh kalangan pengikut madzhab Syafi’i, madzhab Maliki, madzhab Hanafi dan orang-orang utama dari madzhab Hanbali (Fudlala al-Hanabilah). Apa yang dikemukakan oleh al ‘Izz ibn Abd as-Salam ini disetujui oleh para ulama di masanya, seperti Abu ‘Amr Ibn al Hajib (pimpinan ulama Madzhab Maliki di masanya), Jamaluddin al Hushayri pimpinan ulama Madzhab Hanafi di masanya, juga disetujui oleh al Imam at-Taqiyy as-Subki sebagaimana dinukil oleh putranya Tajuddin as-Subki.

GARIS PANDUAN AQIDAH ASY’ARIYYAH

Secara garis besar aqidah asy’ari yang juga merupakan aqidah ahlussunnah wal jama’ah adalah meyakini bahwa Allah ta’ala maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, Allah bukanlah benda yang boleh digambarkan, dan juga bukan benda yang berbentuk dan berukuran. Allah tidak serupa dengan sesuatupun dari makhluk-Nya (laysa kamitslihi syai’). Allah ada dan tidak ada permulaan atau penghabisan bagi kewujudan-Nya, Allah maha kuasa dan tidak ada yang melemahkan-Nya, serta Allah tidak diliputi arah. Allah ada sebelum menciptakan tempat tanpa tempat, Allah wujud setelah menciptakan tempat dan tanpa bertempat. tidak boleh ditanyakan tentangnya bila, dimana dan bagaimana ada-Nya. Allah ada tanpa terikat oleh masa dan tempat. Maha suci Allah dari bentuk (batasan), batas akhir, sisi-sisi, anggota badan yang besar dan anggota badan yang kecil. Allah tidak diliputi satu arah atau enam arah penjuru. Allah tidak seperti makhluk-Nya. Allah maha suci dari duduk, bersentuhan, bersemayam, menyatu dengan makhluk-Nya, berpindah-pindah dan sifat-sifat makhluk lainnya. Allah tidak terjangkau oleh fikiran dan tidak terbayang dalam ingatan, kerana apapun yang terbayang dalam benakmu maka Allah tidak seperti itu. Allah maha hidup, maha mengetahui, maha kuasa, maha mendengar dan maha melihat. Allah berbicara dengan kalam-Nya yang azali sebagaimana sifat-sifat-Nya yang lain juga azali, kerana Allah berbeza dengan semua makhluk-Nya dalam dzat, sifat dan perbuatan-Nya. Barang siapa menyifati Allah dengan sifat makhluknya sungguh dia telah kafir. Allah yang telah menciptakan makhluk dan perbuatan-perbuatan-Nya, Alah juga yang menentukan rezeki dan ajal mereka. Tidak ada yang boleh menolak ketentuan-Nya dan tidak ada yang boleh menghalangi pemberian-Nya. Allah berbuat dalam kerajaan-Nya ini apa yang Allah kehendaki. Allah tidak ditanya perihal perbuatan-Nya melainkan hamba-Nyalah yang akan diminta dipertanggungjawakan atas segala perbuatan-Nya. Apa yang Allah kehendaki pasti terlaksana dan yang tidak Allah kehendaki tidak akan terjadi. Allah bersifat dengan kesempurnaan yang pantas bagi-Nya dan Allah maha suci dari segala bentuk kekurangan. Nabi Muhammad adalah penutup para nabi dan penghulu para rasul. Nabi Muhammad diutuskan oleh Allah ke muka bumi ini untuk semua penduduk bumi, jin maupun manusia. Nabi Muhammad jujur dalam setiap apa yang disampaikannya.

kredit untuk - http://bankwahabi.wordpress.com - atas artikel ini

Imam tertinggal satu rakaat..

Sunday, January 15, 2012

S : Saya (wanita) solat isyak berjemaah di belakang tabir. Imam beri salam lepas rakaat ketiga dan makmum lelaki takde yang tegur. Apa perlu saya buat utz?

J : bagi wanita yg tak dpt menegur imam lelaki dengan cara menepuk tangan ke lengan sebagaimana dalam mazhab kita Shafi'i kerana kedudukannya yang jauh, (suara wanita aurat di dalam solat ke atas lelaki ajnabi dalam solat), maka hendaklah dia menunggu sebentar dengan kadar imam tersebut boleh masuk kembali dalam solatnya sekiranya dia tersedar kesilapannya. Jika selepas berlalu beberapa ketika dan tiada tanda imam masuk kembali ke dalam solatnya untuk membetulkan perkara tadi, maka dia bolehlah bangun untuk meneruskan baki satu rakaat yang tertinggal tadi. Jika dia hendak bangun terus tanpa menunggu imam masuk kembali dalam solatnya, hendaklah berniat mufaraqah. Wallahualam.

Bila dipuji orang

Wednesday, December 14, 2011

M : Apa yang perlu dibuat bila ada orang memuji kita?

J : Pujian ada yang diharuskan dan ada yang dilarang. Sekiranya pujian tersebut boleh memberi galakan kepada yang dipuji untuk tetap dalam kebaikan tersebut atau untuk menjelaskan hal keadaannya kepada orang ramai, maka ini diharuskan sebagaimana Nabi s.a.w. memuji Abu Bakar dan Umar r.ma. contohnya.

Tetapi jika pujian tersebut untuk bermegah-megah atau mengampu dan menyebabkan yang dipuji riak atau pun pujian tersebut melampau-lampau, maka ia dilarang sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. daripada Saydnia Uthman r.a. :

إذا رأيتم المدَّاحين فاحثوا في وجوههم التراب " رواه مسلم
Maksudnya : jika kamu dapati ada orang memuji2 secara melampau maka lemparkan tanah ke atas mukanya.

Sebaiknya, bacalah doa :

اللّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ وَاغْفِرْ لِي مَا لاَ يَعْلَمُونَ

Maksudnya : Wahai Tuhan! janganlah Dikau ambil kira ke atasku apa yang mereka katakan dan ampunkanlah daku apa yang mereka tidak mengetahuinya.

Doa ini merupakan doa Abu Bakar al-Siddiq r.a. Mudah2an dengan doa ini akan mengelakkan kita dari riya' dan `ain serta hasad dengki manusia di samping mendapatkan keredaan Allah.
Wallahualam

Jamak bagi Doktor yang Melakukan Pembedahan

Thursday, December 1, 2011

S : Saya ada tengok YouTube, Ustaz Azhar Idrus kata doktor yang melakukan operation sehingga habis waktu solat tak payah solat tapi qada' je. Bukan boleh jamak ke ustaz sebab masyaqqah?

J : Soalan ini telah dirujuk kepada Ustaz Khiral Anwar bin Daud. Ustaz tidak layak mengulas jawapan Ustaz Azhar Idrus.

Keadaan doktor tersebut ialah seperti seorang yang terpaksa menyelamatkan seorang yang mati lemas. Dia wajib menyelamatkan orang tersebut meskipun terpaksa meninggalkan solatnya sehingga luput. Apabila telah selesai kewajipannya, maka dia hendaklah mengqadak solat yang ditinggalkannya tadi.

Begitulah halnya dengan doktor tersebut dengan syarat telah berusaha untuk mengelakkan keluputan waktu tersebut dan bukan sengaja mengabaikan halangan-halangan solat tadi.

Adapun pesakit tadi boleh melakukan jamak kerana masyaqqah.

Wallahualam.

Samak dengan Sabun Taharah

S : Ustaz, boleh tak samak najis berat dengan sabun Taharah?

J : Samak atau pun Dibagh ialah istilah membersihkan kulit bangkai untuk dimanfaatkan dengan sesuatu yang 'tajam' seperti tawas dll termasuk bahan-bahan kimia yang digunakan pada zaman ini. Membersihkan najis berat atau mugallazoh tidak diistilahkan sebagai samak.

Najis mughallazoh boleh disucikan di sisi mazhab Shafie dengan membasuhnya 7X di mana 1X basuhany tersebut menggunakan air tanah. Tanah yang dimaksudkan di sini ialah yang sah untuk bertayammum dan air tersebut adalah keruh dengan bercampur tanah.

Sekiranya komponen sabun Taharah itu merangkumi sebahagian besarnya tanah dan bahan-bahannya lain adalah sedikit nisbah dengan tanah, maka ia boleh digunakan untuk membasuh najis mugallazoh. Wallahualam.

Hukum sedeqah atas nama si mati dan bacaan al-Quran

S : saya baru terima harta pusaka daripada kematian isteri..boleh tak saya sedeqahkannya atas nama isteri tu? sampai tak pahalanya ustaz? kalau saya baca Quran dan hadiahkan pahalanya untuk isteri, sampai juga ke? trmksh..

J : bermanfaat inshaAllah buat arwah isteri sedeqah tersebut. Ini telah disebut oleh Syekh al-Malibary dalam kitabnya Fath al-Mu`in.

Tentang bacaan Qur'an tadi, pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam Syarh Muslim, pahala pembacaannya tidak sampai.

Al-Subki menjelaskan, pahala tersebut tidak sampai jika tidak dibacakan di sisi si mati atau tidak diniatkan kepada si mati atau tidak diniatkan tetapi tidak disertakan dengan doa kepadanya.

Imam al-Shafie dan sahabatnya (muridnya) meentapkan sunnah membaca Quran yang mudah bagi pembacanya di sisi si mati dan disambung dengan doa kerana lebih mustajab dan mendatangkan keberkatan kepada si mati.

Para ulama al-Shafi`iyyah termasuk Imam Subki menyatakan pahala tersebut sampai kepada si mati dengan diqasadkan kepadanya.

Justeru, bolehlah berpegang kepada mana-mana pendapat tersebut tanpa mentohmah antara satu sama lain. Wallahualam.